• <More on Intel.com

National Spirit

National Spirit

Ringkasan Unit

Dalam menuju ke arah sebuah Negara Malaysia yang maju menjelang tahun 2020 seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020, ‘Semangat Kebangsaan’ yang tinggi di kalangan rakyat adalah amat penting. Bagi menyediakan para pelajar betapa pentingnya memupuk semangat kebangsaan yang tinggi dalam diri mereka merupakan satu cabaran yang menarik dan hebat.

Bagi membolehkan pelajar merasai sendiri pengalaman mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi, maka mereka ditugaskan sebagai seorang penyelidik/wartawan untuk mencari dan menganalisis maklumat serta membuat kajian antara dua orang tokoh iaitu tokoh perjuang kemerdekaan dan tokoh selepas kemerdekaan. Kajian ini dibuat sama ada menemuramah individu yang berkaitan dengan tokoh berkenaan ataupun membuat kajian perpustakaan.

Kemudian para pelajar dikehendaki membuat kaji selidik tentang tahap semangat kebangsaan rakyat Malaysia kini sempena 53 tahun merdeka. Pelajar juga diminta membuat jangkaan tahap semangat kebangsaan rakyat Malaysia 50 tahun akan datang. Setelah itu, pelajar dikehendaki menyediakan persembahan multimedia untuk membentang hasil dapatan mereka. Mereka juga dikehendaki menerbitkan Buletin Merdeka tentang Semangat Kebangsaan Rakyat Malaysia 50 tahun akan datang.

Soalan Kerangka Kurikulum
 

  • Soalan Utama:
    Bagaimanakah anda menunjukkan rasa cinta kepada negara?
  • Soalan Unit:
    Mengapakah semangat kebangsaan itu penting?
    Bagaimanakah tahap semangat kebangsaan rakyat Malaysia dalam tempoh 50 tahun akan datang?
  • Soalan Isi Kandungan:
    Apakah maksud semangat kebangsaan?
    Bagaimanakah pengaruh gerakan kebangsaan negara luar mencetuskan semangat kebangsaan di Malaysia sebelum merdeka?
    Apakah isu perjuangan yang memupuk semangat kebangsaan di Malaysia dahulu dan kini?

Ringkasan Penilaian

Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran dimulakan dengan soal jawab Soalan Utama “Bagaimanakah cara anda menunjukkan rasa cinta kepada negara Malaysia?” dan beberapa soalan lain. Carta K-W-L dikemukakan untuk menguji dan mengetahui pengetahuan sedia ada pelajar. Ia juga digunakan untuk memberi gambaran dan panduan kepada pelajar apa yang mereka akan pelajari. Senarai semak tugasan ini berfungsi untuk memastikan sejauh mana pelajar telah melengkapkan tugasan mereka.

Aktiviti projek memerlukan pelajar menentukan soalan-soalan yang ingin dikemukakan ketika temubual tokoh. Untuk itu, guru perlu menilai dan membuat semakan soalan temubual terlebih dahulu untuk diluluskan sebelum digunakan untuk sesi temubual.

Skema Buletin Merdeka dan Penilaian Persembahan Multimedia digunakan untuk menilai hasil kajian pelajar. Akhir sekali penilaian terhadap pelajar dibuat melalui ujian topikal bagi melihat pencapaian pelajar di akhir pembelajaran.

Prosedur Pengajaran

Minggu 1 - Pengenalan kepada Unit Pembelajaran
Unit pembelajaran dimulakan dengan bersoal jawab Soalan Utama “Bagaimanakah cara anda menunjukkan rasa cinta kepada negara Malaysia?” Carta K-W-L dikemukakan untuk menguji dan mengetahui pengetahuan sedia ada pelajar.

Kemudian, topik projek “Semangat Kebangsaan” diperkenalkan. Pelajar akan memainkan peranan sebagai seorang penyelidik/wartawan untuk mencari dan menganalisis maklumat serta membuat kajian antara dua orang tokoh iaitu tokoh perjuang kemerdekaan dan tokoh selepas kemerdekaan. Mereka juga dikehendaki membuat kaji selidik tentang tahap semangat kebangsaan rakyat Malaysia kini sempena 53 tahun merdeka dan mebuat jangkaan tahap semangat kebangsaan rakyat Malaysia 50 tahun akan datang. Setelah itu, pelajar dikehendaki menyediakan persembahan multimedia untuk membentang hasil dapatan mereka dan menerbitkan Buletin Merdeka tentang Semangat Kebangsaan Rakyat Malaysia 50 tahun akan datang.

Pelajar diagihkan ke dalam enam orang satu kumpulan. Setiap kumpulan berbincang dan mengenal pasti tokoh yang akan ditemubual. Senarai semak tugasan diedarkan untuk membantu pelajar mengetahui kemajuan mereka. Ia juga dapat memastikan sejauh mana pelajar telah melengkapkan tugasan mereka.

Mengumpul Data
Soalan Unit dan Soalan Isi Kandungan dibincangkan. Pelajar dikehendaki mengakses internet dan melakukan kajian perpustakaan bagi mengumpul data yang berkaitan dengan soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru dan juga tentang tokoh yang ingin ditemubual.

Minggu 2 - Temubual
Pelajar menyediakan soalan temubual dan menyerahkan soalan tersebut kepada guru untuk disemak. Pelajar mendapat tarikh temubual dengan tokoh pilihan. Surat kebenaran ibu bapa dan surat persetujuan untuk ditemubual dari tokoh berkenaan diedarkan kepada pelajar. Pelajar menjalankan sesi temubual. Pelajar dikehendaki mencatat dan menangkap gambar semasa sesi temubual dijalankan.

Minggu 3 - Kaji Selidik
Pelajar menyediakan soalan kaji selidik. Mereka menjalankan kaji selidik di sekitar kawasan sekolah dengan memilih responden secara rawak. Aktiviti kaji selidik dijalankan di luar waktu persekolahan dengan bimbingan guru.

Minggu 4 – Menyediakan Persembahan Multimedia dan Menerbitkan Buletin Merdeka
Hasil dapatan pelajar melalui aktiviti mengumpul data, temubual dan kaji selidik dianalisis. Pelajar menyediakan persembahan multimedia untuk membentang hasil dapatan mereka. Mereka juga menerbitkan Buletin Merdeka tentang Semangat Kebangsaan Rakyat Malaysia 50 tahun akan datang.

Minggu 5 - Pembentangan
Pelajar membentangkan hasil dapatan mereka dengan menggunakan persembahan multimedia. Mereka mengedar Buletin Merdeka kepada para hadirin.

Ujian Topikal
Ujian topikal dilaksanakan untuk menilai sejauh mana keberkesanan projek yang dijalankan.

Kemahiran Sedia Ada
 

  • Memahami tentang semangat kebangsaan.
  • Kemahiran asas komputer. Mahir menggunakan pemprosesan data dan pemprosesan imej.
  • Kemahiran carian maklumat samada internet ataupun bahan ilmiah.

Penyesuaian Perbezaan Pengajaran

Pelajar Yang Memerlukan Bantuan Khas:

  • Pelajar diagihkan tugas dan diberi tugasan yang sesuai dengan keupayaan mereka.
  • Pelajar dibimbing oleh rakan dan juga guru semasa menjalankan projek. Masa tambahan juga diberikan bagi memberi peluang untuk pelajar menyiapkan tugasan mereka dengan baik.

Pelajar Cerdas:

  • Pelajar diberi peluang untuk mengumpul data dan memasukkan maklumat tambahan yang mereka perolehi. Pelajar ini juga diberi peluang untuk menjadi ketua kumpulan dan membantu pelajar lain dalam kumpulan mereka.

Kredit

Projek idea disedikan oleh Cikgu Norhayati binti Mat Zain. Para pendidik lain mengembangkan ideanya seperti yang ditunjukkan.

National Spirit

Sepintas Lalu

Tahun/Tingkatan: Tingkatan 2
Mata Pelajaran: Sejarah
Topik: Semangat Kebangsaan
Perkara Penting: Memupuk semangat kebangsaan
Masa diperlukan: 5 minggu (2 jam seminggu)